Ticker

6/recent/ticker-posts

Ad Code

Responsive Advertisement

Travelog Sedondon : Cuti-Cuti Langkawi (Hari Kedua)

Hari Kedua, 27 November 2016.

Sarapan dulu yuk. Alas perut sebelum berjalan-jalan. Sepertimana yang kami maklumkan sebelum ini, di tempat penginapan kami disediakan sarapan percuma. Boleh baca di sini.
Jadi, kami juga tak lepaskan peluang yang diberi. Sebelum memulakan eksplorasi, singgah dahulu di tempat makan yang terletak berahdapan dengan bilik kami.


Jom makan
Menu sarapan pagi yang disediakan - Nasi Goreng, sosej. Boleh juga jika mahukan roti bakar dan mentega. Setelah perut kenyang, barulah ada tenaga untuk berjalan-jalan. Sebelum tu mari kita potretkan dahulu gambar di sekitar De Langkawi Resort and Convention Centre ini. 


Pemandangan dari kawasan depan bilik penginapan

Lokasi pertama di hari kedua, kami merancang untuk membeli belah dahulu cenderahati dan barang-barang kiriman keluarga dan sahabat handai. Jadi, kami ke Pekan Kuah sekali lagi. Suasana siang hari di Datarang Lang lebih meriah dengan kehadiran ramai pelancong asing dan juga tempatan. Kiranya jika datang ke Langkawi, memang tak sah kalau tak bergambar di mercu tanda ini. 
Selain di Datarang Lang, anda boleh juga ke sekitar Terminal Jeti untuk mendapatkan cenderahati dan tempat bergambar yang menarik. Kami sekadar membeli key chain sebagai cenderahati di sini. Coklat Daim nanti kita beli dalam perjalanan pulang ye sebab banyak tempat nak pergi lagi. 

Dari Terminal Jeti, kami terus berjalan kaki menuju ke Taman Lagenda. Sebenarnya lokasi Taman Lagenda bersebelahan sahaja dengan Dataran Lang, ada laluan pejalan kaki disediakan untuk ke sana. Jadi boleh parking sahaja kereta di parking awam Dataran Lang dan berjalan ke sana. Oh ye semalam kami diingatkan oleh pemilik kereta sewa, jika parking di Pekan Kuah perlu letakkan kupon untuk elakkan disaman oleh Majlis Bandaran. 

Sampai di Taman Lagenda, kami lihat suasana sedikit suram kerana tidak ramai pelancong ke sini. Hanya dimeriahkan oleh pekerja yang bertugas menjaga kebersihan tempat ini sahaja. Secara kesimpulan, luas Taman Lagenda ini tersangatlah luasnya dan kami tidaklah meneruskan perjalanan hingga ke penghujung (tak larat kaki berjalan). Hanya suku perjalanan sahaja di sini. Untuk yang ingin mengkaji sejarah Langkawi, boleh la ke sini kerana rata-ratanya arca dan susunan tempat di Taman Lagenda ialah susunan cerita mengenai sejarah dan sumpahan di Pulau Langkawi. Oh, ye siapa yang suka bergambar dengan pemandangan yang cantik dan menarik - di sini boleh jadi salah satu tempat yang sesuai. Nak buat wedding photoshoot untuk outdoor pun boleh. Kami ada ceritakan juga sejarah Taman Lagenda di sini.

Dari Pekan Kuah, kami meneruskan perjalanan ke tempat pemprosesan gamat. Alkisahnya kami ke sini untuk mendapatkan minyak gamat yang telah dipesan oleh rakan suami. Kami ke Gamat Nusantara, antara pusat pemprosesan gamat terkenal di Langkawi. Ramai juga pelancong ke sini, semuanya memborong minyak gamat dan produk berasaskan gamat yang ada pelbagai rupa di sini. Tidak perlu risau tentang keasliannya, kerana di sini memang pusat pemprosesan. Di sebelah kedai yang menjual produk berasakan gamat, kelihatan beberapa kawah yang sedang memproses minyak gamat. Untuk minyak gamat yang dijual di sini harganya sekitar RM10 untuk sedozen. 

Di seberang jalan Gamat Nusantara, terdapat pula kedai menjual batik. Lemas dalam timbunan kain batim yang pelbagai corak dan warna, kami hanya meninjau-ninjau sahaja dahulu. Ramai juga makcik-makcik sedang memborong di sini. Beli, beli, murah, murah. Hihi. Kami teruskan perjalanan ke Beras Terbakar. Ternyata tempat ini sangat berbeza dari beberapa tahun kebelakangan ini. Terdapat beberapa gerai yang menjual kain batik dan minyak gamat juga di sini, boleh juga meninjau-ninjau jika ada corak dan warna yang berkenan di hati. Kami membeli beberapa helai kain batik, di sini 7helai dengan harga RM84. 

Terpengaruh dengan gambar yang menarik yang dirakamkan oleh salah seorang pengunjung ke Langkawi sebelum ini (hasil carian di google), kami juga gigih bergerak ke Padang Matsirat untuk mencari lokasi bergambar Kampung Bohor Baru yang dikatakan. Cari punya cari, memang berjumpa dengan kampung terbabit tapi tak jumpa dengan rumah yang dikatakan tempat untuk sewa basikal tua. Ada juga kereta lain yang berpusing-pusing di tempat yang sama seperti kami, dalam hati (agaknya dia pun nak cari tempat bergambar tu juga kot).

Setelah penant dan lapar, kami akhirnya memutuskan untuk meneruskan perjalanan sahaja. Dalam perjalanan sempat lagi google tentang Kampung Bohor Baru. Oh, rupanya jika ingin menyewa basikal tua dan aktiviti yang dikatakan, perlu berhubung dahulu dengan Pusat Pelancongan Langkawi. Barulah mereka akan uruskan untuk aktiviti tersebut. 

Lokasi seterusnya kami ke Laman Padi untuk menikmati makan tengah hari di sana. Sambil makan sambil menikmati suasana sawah padi di sekeliling - memang tenang dan mendamaikan. Kami makan di Restoran Seashell dengan menu ini, harganya sekitar RM46 untuk satu set. Terdapat banyak pilihan menu lain juga lagi berbanding yang kami pilih ini. Oh ye, di sini setelah memilih untuk duduk di bangsal di tengah sawah kita boleh menyalakan lampu di tepi tiang sebagai isyarat untuk memanggil khidmat pelayan restoran. Jadi jika melihat lampu merah yang menyala, mereka akan datang ke tempat kita samada untuk mengambil pesanan atau memberi khidmat yang diperlukan. Dua kali kami menyalakan lampu tersebut. Pertama untuk memesan makanan, yang kedua setelah selesai makan (tak habis sebab terlalu banyak untuk dua orang), jadi kami bungkus makanan untuk dibawa pulang. 

Hidangan makan tengah hari di Laman Padi

Perut dah kenyang, boleh la teruskan perjalanan. Kami singgah sebentar solat di kemudahan surau yang disediakan di sini. Kemudian, terus sahaja berjalan ke Galeri Padi dan bergambar di kawasan sawah padi di situ. Almaklumlah, kami kedua-duanya orang Temerloh (tiada padi ada ikan patin je) jadi seronok juga sekali sekala dapat menikmati suasana sawah padi di negeri orang. Masa nilah pentingnya monopod yang kami bawa - untuk merakam detik-detik menarik yang ada dan disimpan kemas sebagai memori.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah membeli kain batik di Gedung Batik berhadapan Gamat Nusantara. Kemudian singgah pula di Pekan Kuah membeli coklat Daim yang dipesan keluarga dan rakan-rakan. Jadi, kesemua pesanan telah lengkap di hari kedua kami di Langkawi. Esok boleh jalan-jalan sahaja. 

Pintu Masuk ke De Lngkawi Resort and Convention Centre

Malam ini setibanya kami di bilik, disambut pula dengan hiasan tanjak dari tuala di atas katil. Mata pun dah terasa layu sahaja. Selepas menikmati hidangan makan malam (yang dibungkus dari Laman Padi), kami berehat dan beradu sahaja di bilik. 


Malam ini di tempat penginapan, ada keluarga yang menempah hidangan barbecue. Salah satu kemudahan yang disediakan juga oleh pihak pengurusan De Langkawi Resort and Convention Centre. Menu untuk barbecue boleh dipilih dari senarai yang telah disediakan dalam fail di setiap bilik. 

Suasana malam di tempat makan

Oh ye, selain kemudahan barbecue di sini juga ada disediakan bangunan surau. Jadi, untuk yang ingin membuat tempahan untuk program berbentuk kumpulan, boleh sahaja menggunakan kemudahan yang disediakan di sini. 

Bangunan surau berhadapan dengan kaunter pendaftaran

 Siap sedia pula untuk perjalanan di Hari Ketiga. Mahu ke mana pula kita? Tungguuuu
Reactions

Catat Ulasan

0 Ulasan