Ticker

6/recent/ticker-posts

Ad Code

Responsive Advertisement

15 TIPS KEKAL MESRA BERSAMA PASANGAN SUAMI ISTERI




Melangkah ke alam perkahwinan, bergelar suami isteri adalah antara momen indah dalam hidup manusia. Di awal usia perkahwinan, semuanya indah, dunia bagaikan sering tersenyum kepada kita. Masa berlalu, melewati usia perkahwinan bertahun-tahun banyak perubahan yang berlaku dalam rumahtangga. Pertambahan ahli keluarga, kedudukan kewangan, sikap dan kematangan. 

Adakah perkahwinan kita juga berubah? Bagaimana untuk mengekalkan perhubungan suami isteri agar terus kekal mesra sepertimana mula-mula berkahwin? Jom sama-sama kita amalkan tips-tips berikut:

1. Sentiasa mengucapkan terima kasih kepada pasangan.
Tidak rugi pun untuk berterima kasih, jadi ringa-ringankan mulut kita untuk sering mengucapkan terima kasih kepada pasangan suami/isteri kita di atas setiap pertolongan yang dihulurkan. Pasti mereka terharu mendengarnya.

2. Tidak lokek memuji pasangan
Sesekali pujilah penampilan pasangan, masakan isteri atau usaha suami membaik pulih barang yang rosak. Setiap kebaikan yang dihulurkan pasangan juga berupa rahmat yang perlu disyukuri dan dinyatakan sebagai satu penghargaan kepada mereka.

3. Nasihat menasihati dengan penuh kasih sayang

Adat manusia biasa, semua orang akan melakukan kesalahan. Terima kesalahan pasangan dan pada masa yang sama berusaha menasihatinya untuk memperbaiki dan memperbetulkan kesalahan tersebut.


4. Bekerjasama dengan pasangan dalam melakukan kerja rumah
Menguruskan rumahtangga bukan hanya tanggungjawab isteri sahaja, malah dalam Islam suami amat digalakkan menghulurkan bantuan. Sesekali bantulah mengemop lantai, membasuh pinggan sendiri, menjemur kain dan lain-lain urusan rutin dalam rumahtangga. Baginda Nabi yang kita sayangi juga sering menghulurkan bantuan kepada isteri sekiranya Baginda berada di rumah. Nah, itulah contoh tauladan yang terbaik untuk kita ikuti. 


5. Memandang pasangan dengan pandangan sayang

Indahnya hidup bila suami isteri saling menumpahkan kasih sayang antara satu sama lain. Pandanglah wajah insan yang sudi untuk sehidup semati dengan kita. Renungi wajahnya dengan penuh kasih sayang, pasti rumahtangga akan kekal mesra sampai bila-bila.

6. Bersyukur dengan kelebihan pasangan dan menerima dengan redha kekurangan pasangan
Ucapkan rasa syukur kepada Yang Maha Mencipta di atas kurniaaNya kepada kita seorang pasangan suami/isteri yang mempunyai kelebihan. Pada masa yang sama, terima setiap kekurangan yang ada pada diri masing-masing. Bukankah pasangan suami isteri itu tercipta untuk saling melengkapi antara satu sama lain?

7. Bersabar dengan sikap pasangan dan berbuat baik pada pasangan
Usahlah terlalu cepat marah atau melenting dengan sikap dan kerenah pasangan. Cuba letakkan sikap sabar di dalam diri dan terus berbuat baik kepada pasangan dalam apa jua keadaan. Pasti sampai waktunya, pasangan akan menyedari dan lebih menghargai kita.

8. Saling memberi kepada pasangan, bukan hanya menerima
Hidup bersama suami isteri bukanlah hanya bergantung kepada sebelah pihak sahaja. Kedua-duanya hendaklah memainkan peranan bersama. Jadi, jangan hanya hendak menerima sahaja daripada pasangan sebaliknya berusahalah juga untuk memberi.
9. Mohon maaf segera andainya melakukan kesilapan
Tidak perlu menunggu hari-hari tertentu untuk memohon maaf kepada pasangan. Belajar untuk mengucapkannya setiap hari sebelum tidur atau setiap kali melakukan kesalahan, mengguris hati pasangan dan lain-lain. Tidaklah emosi pasangan menjadi terbeban dan memendam rasa bertahun-tahun lamanya.
10. Pandai mengambil hati pasangan
Jalanilah kehidupan bersama antara suami isteri dengan pengurusan emosi yang baik dan terkawal. Sentiasa berusaha untuk saling mengambil hati dan menggembirakan pasangan contohnya dengan sentiasa menyokong dan turut serta dalam hal-hal yang disukai oleh pasangan masing-masing.

11. Sentiasa berkomunikasi dan berbincang sesama pasangan
Apa yang kita fikirkan tidak sama, malah pemahaman kita terhadap sesuatu perkara juga sering berbeza-beza. Jadi, jangan hanya mengharapkan pasangan memahami apa yang kita fikirkan serta kehendak kita. Sentiasalah berkomunikasi dengan baik dan berbincang bersama pasangan untuk sama-sama saling memahami antara satu sama lain.

12. Berbaik sangka sesama pasangan
Ramai orang suka bersangka-sangka tanpa mengetahui samada apa yang disangkakan itu benar ataupun tidak. Adalah sangat bahaya jika sikap tersebut dimiliki oleh pasangan suami isteri, selidiklah dahulu sesuatu berita dan tidak hanya bersangka-sangka.

13. Berkorban tanpa mengharapkan balasan daripada pasangan
Memberi dan berkorban dalam rumahtangga sewajarnya dilakukan dengan ikhlas, bukan mengharap dibalas semula oleh pasangan. 

14. Sentiasa bercakap benar pada pasangan
Dalam apa jua keadaan, jangan membohongi pasangan. Cubalah berkata benar dan berterus terang agar pasangan dapat memahami keadaan yang sebenar, bukannya dengan berbohong dan menyembunyikan sesuatu perkara. 

15. Berbaju sedondon bersama pasangan
Wah, nampak serasi bila mengenakan baju sedondon bersama pasangan. Cubalah pakai baju sedondon bersama di waktu bersiar-siar, membeli belah barangan dapur dan kenduri-kendara. Pasti ramai yang terpesona melihat kita dan turut mendoakan kesejahteraan kita bersama. Bukankah doa dari ramai orang terhadap kebahagiaan rumahtangga kita akan menjadi sesuatu yang tidak ternilai harganya. 

"Jika takdirnya pahit untuk kita, terimalah sebagai ubat. Katalah, kita sudah berusaha menjadi orang yang baik, dan kita telah pun bernikah dengan pilihan yang baik, tetapi jika takdirnya pasangan kita bermasalah, bersabarlah. Katakan pada diri bahawa itulah jalan yang ditentukan oleh Allah untuk kita mendapat syurga. Maka rebutlah pahala sabar dan redha seperti Nabi Lut dan Nabi Ayyub atau kesabaran isteri bernama Asiah.

Reactions

Catat Ulasan

0 Ulasan